Menjadi GENIUS spt Leonardo da Vinci
Dipetik drpd novel Kalam Cinta daripada Tuhan karya ALI SOBIRIN EL MUANNATSY
Kepintaran bukan diukur dari segi kemampuan verbal dan kecerdasan matematik. Kepintaran meliputi banyak perkara. Logik-Matematik seperti Newton, Verbal-Linguistik seperti Shakespear, Spasial-Mekanik seperti Michelangelo, Muzik seperti Mozart, Jasmaniah-Kinestetik seperti Muhammad Ali, Antarperibadi-Sosial seperti Gandhi dan Kepintaran Intraperibadi atau Pemahaman Diri seperti Ibu Teresa. Kepintaran dalam bidang matematik hanya suatu aspek kepintaran. Ada enam perkara lagi yang perlu dipupuk, dibiasakan dan dididik dalam diri kita. Kejayaan dalam bidang apa pun bukan ditentukan oleh orang lain tetapi kita sendiri, diri kita.
Ketujuh-tujuh kepintaran itu mampu diperoleh oleh sesiapa saja. Ada tujuh perkara penting yang perlu kita lakukan, yang perlu kita amalkan. Tujuh perkara ini akan membawa kita menjadi genius. Ingat, genius bukan bakat semulajadi, bukan bawaan. Genius dibentuk, dilatih dan dipupuk secara terus-menerus. Genius adalah proses menjadi bukan sudah jadi. Genius bukan seketika. Genius memerlukan proses latihan yang terus-menerus.
Pertama ialah curiosita. Rasa ingin tahu. Desakan untuk mengetahui. Dunia bayi. Dunia di mana tidak ada yang tidak menarik. Semuanya menarik. Seperti bayi, kita harus bereksperimen dengan apa saja yang ada disekeliling kita. Bertanya tentang segala sesuatu. Ingin mengetahui segala sesuatu. Kita harus melayani keinginin itu. Kita tidak boleh cepat berasa puas dengan pemahaman yang sudah ada. Belajar tanpa henti. Dengan membuka ruang fikir yang terbuka dan penuh pencarian, dunia kita menjadi menjadi luas dan kemampuan kita untuk menempuh perjalanan melewatinya akan turut meningkat. Di sinilah kebebasan. Terbuka untuk bertanya . Kerana ingin tahu. Kita sepatutnya bersikap seperti bayi yang ingin tahu segala sesuatu. Sel-sel otak kita semakin diisi akan semakin membesar dan bertambah. Tidak menjadi sempit. Sebaliknya, otak yang tidak diisi menjadi kaku, tandus, kosong dan tidak berguna. Kita seharusnya mula mendidik, memupuk dan melatih diri kita supaya sentiasa ingin tahu. Serba ingin tahu. Serba mencari. Genius bermula dengan pertanyaan yang kecil-kecil kemudian, pertanyaan yang besar dan seterusnya kritis dan lebih dalam. Otak dan fikiran kita tidak boleh berhenti untuk ingin tahu, tidak beku untuk bertanya, tidak boleh static unruk mengamati, dan tidak boleh buntu untuk mencari. Otak kita perlu dipupuk untuk terus bertanya dan mencari. (jangan bertanya soalan yang kita sudah tahu apa jawapannya, sia-sia)
Kedua, dimonstrazione. Iaitu menguji pengetahuan melalui pengalaman, ketekunan, kecekalan dan kesediaan untuk belajar daripada kesalahan. Demonstrasi. Membuktikan kebenaran pemahaman yang kita yakini. Membuktikan keyakinan kita terhadap kebenaran dengan langkah-langkah yang praktikal. Keyakinan kita terhadap kebenaran tanpa pembuktian adalah keyakinan yang semu dan kosong. Membohongi diri sendiri. Buktikan pemahaman dan keyakinan kita adalah benar. Bukan sekadar mengaku benar. Itulah demonstrasi. Menguji pemahaman, menguji kebenaran.
Kita selama ini terlalu terbuai dengan pemahaman dan keyakinan tanpa pembuktian. Contoh yang mudah ialah al-Quran memceritakan bahawa pada zaman Nabi Nuh A.S telah terjadi banjir besar. Selama ini umat Islam percaya banjir besar Nuh ialah banjir yang melanda seluruh dunia. Ternyata kajian yang dibuat membuktikan bahawasanya banjir besar Nuh ialah banjir yang melanda suatu tempat sahaja. Bukan melanda seluruh bumi. Tidak ada fakta empirik dan sejarah yang mengatakan bahawasanya bumi ini pernah tenggelam seluruhnya. Pertanyaan yang hendak diajukan mudah sahaja. Kalau seluruh bumi pada masa itu tenggelam, ke mana perginya semua air itu? Mengewap ke mana? Kalau mengewap ke langit, pasti akan turun lagi.
Itulah pentingnya demonstrasi. Dulu gereja meyakini manusia bahawa bumi pipih seperti pinggan. Kajian membuktikan seperti apa yang kita ketahui sekarang ini, bahawa bumi ini bulat. Pertanyaan yang hendak diajukan mudah sahaja. Jika bumi ini pipih, habis di mana pinggirnya (tepi)? Di mana hujungnya? Begitu juga tentang adanya Tuhan. Kita semua percaya bahawa Allah itu ada. Oleh itu, kita harus membuktikan bahawa Allah itu ada. Al-Farabi membuktikannya secara filsafat. Baiquny membuktikannya melalui ilmu fizik. Walaupun ternyata lemah, tetapi itu adalah usaha untuk membuktikan keberadaan Tuhan yang harus kita hargai. Yang harus kita contohi. Sungguhpun terdapat kesalahan, kita harus perbaiki dengan bukti-bukti baru.
Kita harus menyemaikan dimonstrazione ini. Membuktikan kebenaran kita dan terbuka terhadap tanggapan salah yang ada pada pemahaman kita. Hanya dengan begini kita umat Islam boleh maju. Dengan cara ini kita dapat menunjukkan bahawasanya agama kita itu benar dan haqq.
Ketiga, Sensazione. Sensasi. Penajaman deria secara terus-menerus, terutamanya penglihatan, sebagi sarana utama untuk menghidupkan pengalaman. Untuk memupuk persepsi. Persepsilah yang mampu mendorong kita untuk menjadi genius, untuk berkarya. Peka terhadap fenomena. Peka terhadap alam.
Di sini ada suatu yang menarik, iaitu yang menjadi prinsip Profesor Yusuf, professor dari Bengladesh yang Berjaya meraih anugerah Nobel. Prinsipnya adalah dream within dream. Mimpi dalam mimpi. Yang bererti berangan-angan yang mulia. Dalam hal ini Profesor Yusuf menyahkan kemiskinan ke dalam muzium. Kemiskinan harus dimasukkan ke dalam muzium, tidak berserak di mana-mana seperti sekarang ini. Professor Yusuf bermimpi terhapusnya kemiskinan di muka bumi. Dan sedikit sebanyak dia berhasil. Dia telah berhasil mengangkat darjat golongan miskin. Iaitu dengan memberikan rumah yang boleh dinayar dengan duit muka (bayaran deposit) sebanyak 300 dolar.
Sensasi atau kepekaan ini harus bersatu dalam diri kita . Harus dibiasakan. Yang paling utama ialah deria penglihatan. Mata. Saper Vadere. Pandai-pandailah melihat. Di samping itu juga deria hidu, cita rasa, sentuhan dan sinestesia. Sinestesia ialah gambaran terhadap rasa atau kesan yang didapati oleh deria. Kelima-lima deria ini harus dilatih menjadi peka. Kalau tidak dilatih, deria kita akan tumpul, bodoh dan tidak elok. Kerana menajamkan deria, melatih deria untuk peka terhadap fenomena, merupakan syarat seseorang untuk menjadi genius.
Keempat, sfumato. Hilang tidak berbekas atau menjadi tidak pasti. Iaitu kesediaan untuk menerima kekaburan, paradoks dan ketidakpastian. Bertoleransi terhadap ketidakpastian. Dunia yang unik dan pernik sering menyebabkan deria kita tidak mampu menangkap semua benda. Apabila kita menajamkan deria, bererti kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak diketahui. Di sinilah perlunya sfumato.
Kita harus bersikap tenang terhadap kekaburan dan pelbagai paradoks yang pasti muncul. Sikap tenang menangani keadaan yang kabur dan situasi paradoks merupakan kunci jiwayang waras dan berkesan untuk menghadapi perubahan pesat yang berlaku di dunia ini. Sfumato. Memupuk daya tahan terhadap kebimbangan. Dengan sfumato, senang tidak membuat kita lupa, dan susah tidak membuat kita durhaka. Mungkin ini kebesaran Islam. Yang menyeru kita supaya peka terhadap keadaan yang tidak pasti yang mungkin muncul.
Kelima ialah Arte atau Scienza. Mewujudkan keseimbangan antara logic dan khayalan, antara ilmu dan seni. Inilah yang dimaksudkan dengan whole-brain thingking, yakni keupayaan otak untuk berfikir secara menyeluruh. Melatih otak kiri tanpa menjumudkan otak kanan. Mendidik otak kanan tanpa melupakan otak kiri. Itulah kesatuan diri. Kesatuan ilmu dan seni. Kesatuan pengetahuan dengan estetika. Ilmu dan seni saling bergantung dan tidak boleh dipisahkan.
Mengikut pengertian kita sebagai pelajar, ilmu tidak bebas nilai. Ilmu terikat pada nilai. Ilmu tanpa seni atau nilai boleh merosakkan. Penemuan teknologi yang hebat dewasa ini harus disertakan dengan nilainya untuk memperbaiki dan memperbaharui alam. Bukan untuk merosakkannya. Penemuan teknologi harus berlandaskan keindahan alam. Sebaliknya, keindahan tidak dapat dirasakan secara sempurna jika kita tidak tahu apa yang menyebabkan sesuatu barang itu indah. Contohnya seperti seorang gadis yang cantik dan teruna yang tampan. Kita tahu gadis itu cantik dan teruna itu tampan kerana kita dapat melihat. Itu adalah pengetahuan yang paling mudah. Pengamatan yang ringkas. Sekilas. Keindahan, lelaki itu tampan dan gadis itu cantik, akan lebih bermakna jika kita tahu kelebihan si gadis dan si teruna itu. Dan kelebihan itu boleh diketahui melalui pemerhatian dan penelitian. Ketampanan si teruna akan menyerlah jika kita tahu akan kelebihan yang dimilikinya sama ada kecil ataupun besar. Dan semua itu dapat kita ketahui dengan pengetahuan, dengan ilmu yang diperoleh melalui penelitian. Di sinilah perlunya kesatuan antara ilmu dan seni.
Keenam, Corporalita. Pemupukan keanggunan, keterampilan dan kesihatan. Keseimbangan. Secara mudah mungkin dapat dilihat pada tubuh badan para atlet. Tubuhnya bukan sekadar tegap, tetapi juga sihat. Kita tentu sudah biasa dengan kalimat al-aqlus al-salim fi jism al-salim. Akal yang sihat terletak pada tubuh yang sihat. Begitulah pentingnya keseimbangan. Kita harus belajar dan bekerja, tetapi kita juga tidak boleh mengabaikan olahraga. Mengikut Leonardo da Vinci, kesihatan tubuh merupakan perkara yang sangat penting. Walau bagaimana pun rupa kita, kita hendaklah menjaga diri agar sentiasa sihat dan anggun (kemas). Kesihatan adalah kunci utama seseorang dapat berjaya. cara duduk harus betul, tegap dan mantap. Jangan lemah longlai. Berjalan pun harus tegap dan mentap serta yakin pada diri sendiri. Bukan lemah longlai. Badan yang longlai akan menyebabkan fikiran dan hati turut longlai. Itulah maksud da Vinci. Hadis Nabi Rasulullah S.A.W, ‘allimu auladakum al-sibahah wa al-rimayah. Ajarlah anak-anakmu berenang dan memanah. Itu adalah seruan agar kita terus menjaga kesihatan. Apabila kita sihat, kita menjadi seorang yang berketrampilan.
Penyakit timbul kerana adanya unsur-unsur yang tidak elok yang masuk ke dalam tubuh. Salah satu cara untuk menghilangkannnya adalah dengan memulihkan unsur-unsur yang tidak selaras itu. Da vinci mengingatkan kita, ‘Belajarlah menjaga kesihatan’. Berusahalah supaya menjadi sihat. Orang yang genius harus sihat zahir dan batin. Hati, akal, dan fizikal hendaklah sihat. Jika salah sati sakit, proses menjadi genius akan terbantut.
Prinsip yang terakhir, yang ketujuh ialah Connessione. Iaitu pengakuan yang tinggi terhadap hubungan atau kaitan segala sesuatu dengan fenomena. Maksudnya, tidak ada sesuatu dengan yang berdiri secara sendiri. Semuanya bersinambung dan saling menumpang. Prinsip ini mendorong kita untuk berfikir secara bersistem, iaitu berfikir secara menyeluruh, tidak sekerat-sekerat, tidak sempit apalagi kaku. Ibarat bermain catur, keseluruhan buah catur adalah sama penting, dan keseluruhan langkah akan menentukan sama ada kita menang ataupun kalah dalam pertandingan.
Berdasarkan logic Titik Ba oleh Ahmad Thoha Faz, iaitu intelektual muda dari Tegal alumni ITB, segala sesuatu itu berasal dari satu titik yang kemudian tersebar menjadi titik-titik baru yang saling berkait. Penyebaran itu bukannya pemisahan, tetapi sebenarnya pengkayaan benda dan cara pandang. Kita seharusnya mampu mengamati sesuatu hal atau kejadian secara keseluruhan dan jujur untuk mengaku adanya keberkaitan dalam segala hal.
Tanpa kemampuan untuk mengakui adanya hubungan ini, seseorang tidak akan dapat menjadi pemimpin yang baik. Dia akan terjebak dalam suatu masalah, lalu mencetuskan masalah lain. Akibatnya semua akan hancur. Seorang pemimpin harus mengkaji seluruh benda yang ada untuk mengetahui potensi masing-masing dan mengakui keberkaitannya, untuk kemudian digunakan bagi menghasilkan perkara-perkara baru. Itulah pemimpin yang bijak. Mampu menangkap perbezaan yang ada sebagai potensi yang saling berkait.